Tuesday, August 3, 2010

langkah1

Aku sampai lebih kurang 10 minit sebelum jam 9 pagi. dengan beg sandang dan berbaju kemeja lengan panjang putih dan seluar skema, aku melangkah pagar dan disapa pak guard berbaju kelabu. Di depan aku adalah bangunan agam kebiru2-an dek cermin dan sinar terik matahari pagi.

“nak interview,” kataku.

Dan aku diberitahu supaya naik ke tingkat 5. Aku diberi pas pelawat yang kemudian aku kelip ke dada. Ke tulang butang baju putih yang aku sayang. Baju putih berharga kurang rm30 yang aku beli selepas dua tiga bulan mengumpul wang gaji.

Melangkah pintu cermin besar, aku tenggelam dalam lobi yang lebih besar. Gah. Di kanan adalah sederet tiga lif yang agak sibuk buka tutupnya. Di kiri lif itu adalah penyambut tetamu. Di depan kaunter penyambut tetamu adalah satu papan tanda bermegah2 – biasalah, korporat – yang menyenaraikan sekian banyak anak syarikat pemilik bangunan itu.

Aku menahan debar yang masih kuat sejak di pintu pagar tadi. Dalam tempoh beberapa detik saja aku sudah berada di tingkat lima. Melilau-lilau mencari arah yang sepatutnya dituju. Entah dengan bismillah atau tidak, aku menolak daun pintu kelabu yang tebal.

Aku masih ingat. Wajah pertama yang menangkap pandangan adalah seorang gadis berambut lurus separas bahu yang menoleh serentak tersenyum memandangku. Aku yakin, dia bukan sengaja beri senyuman untuk aku, tapi kebetulan sedang bersenyum2 apabila terdengar daun pintu ditolak dan kebetulan pulak aku yang menolaknya.

Gulp! Ada ramai juga yang duduk di ruang sempit tu! Ada muka yang aku kenal. Penyampai sukan tv3, antaranya. Rata-rata semua berpakaian kemas dan betul2 skema. Mamat penyampai sukan tu bertali leher. Penuh yakin. Yang lain2 juga bertali leher. Ada dua tiga awek kontrol ayu. Dan selain yang menyambut aku dengan senyum tadi, ada seorang lagi gadis – kali ni bertudung – yang aku agak ingat. Bukan namanya. Bukan wajahnya. Tapi sikapnya. Nanti saja aku ceritakan.

No comments:

Post a Comment