aku datang ke perai (dan pulau pinang keseluruhannya) dalam keadaan harian metro masih berdagang. bukan gah macam hari ini. dagang adalah kata lain bagi ungkapan 'hina'. aku bercadang nak bercerita tentang kisah ini dengan lebih mendalam disember nanti. tapi hari ini ada sesuatu berlaku dan aku rasa aku perlu ceritakan serba sedikit.
waktu itu disember 1995. dagang tak dagang harian metro pada masa itu print order harian ialah 20,000 naskhah saja. bukan untuk perai atau pulau pinang. untuk wilayah utara yang jajahannya dari tanjung malim hingga ke padang besar. atau mungkin danok. yup. dua-puluh-ribu-sahaja. itu baru print order. belum cerita berapa banyak yang terjual.
dan aku mengenal ramai kawan2 baru. termasuk shahrin osman. dia pekerja perbadanan pelabuhan pulang pinang. orang sana panggil PPC, kalau tak silap. dia polis bantuan - juga kalau tak silap. shahrin osman lelaki yang lemah lembut. tapi dalam hati dia ada baaaanyaaaak taman. taman bunga ada. taman rama2 ada. taman permainan kanak2 pun ada.
dia salah seorang stringer kami pada masa itu. pada zaman itu kami berkongsi stringer. dia buat story untuk difaraid sesama 'dua beradik' kandung - berita harian dgn harian metro. stringer memang sukalah. dapat klaim banyak sikit. tapi shahrin - yang kami selalu panggil cik shah - ada beat tersendiri. kalau orang lain punya beat jenayah, politik atau sukan, cik shah punya beat ialah pendidikan. dan beat cik shah itu pula lebih mikro sifatnya. beat dia pendidikan di sekitar seberang perai. atau sekitar bukit mertajam. sekolah kegemaran dia ialah sekolah menengah sains tun syed sheh shahabudin. selalunya juga dia datang ke pejabat membawa caption story saja. maksudnya - cerita bergambar. sekeping dua gambar dengan satu dua para cerita.
tapi itulah. kebiasaannya dia mengambil masa berjam2 untuk menyiapkan satu caption story. tempoh dia membuat caption story kadang2 menyamai tempoh wartawan lain nak menyiapkan berita utama muka depan. dia boleh dikatakan bergerak secara slow motion. tapi dalam banyak keadaan ia menghiburkan. untuk menaikkan semangat dia - yg kadang2 down sebab "darah naik" kami akan umpan dengan cerita2 tentang awek. biasanya dia akan bersemangat macam orang muda.
maka saya sebagai orang muda - dan bujang, uhuk! - kadang2 tak sabar. kadang2 saya bertindak atau bercakap dalam keadaan saya lupa satu hari nanti saya juga akan tua. dan itu memang saya kesali sekarang. beberapa tahun kemudian cik shah berhenti kerja. ada skim cerai sukarela (vss) kalau aku tak salah. dan dia jadi stringer sepenuh masa.
cik shah tetap slow motion.
antara perkara yang identikal dengan dia ialah obsesnya kepada perkataan "bagaimanapun." dalam setiap berita yang dia tulis, akan ada "bagaimanapun." biasanya pada permulaan para kedua atau ketiga. akan dimasukkan "bagaimanapun" walaupun ia tidak kena langsung. walaupun ia tidak sesuai dengan konteks ayat, cik shah akan tulis "bagaimanapun."
ada satu lagi perkataan yg dia suka guna dalam caption gambar. cuma aku tak ingat.
cik shah yang kami kenal ialah shahrin osman. namun itu bukan nama sebenarnya. itu nama pena dia. nama sebenar cik shah ialah shahbuddin othman. dan dia adalah contoh penulis yg kreatif dan berjaya mencipta nama kerana kami kadang2 terlupa nama sebenarnya. bagi aku penulis yang baik bermula dengan kecerdikan mencipta nama pena. tak semestinya berbunga2, macam teruna desa, atau anggerik berduri. cukup dengan nama sederhana tetapi 'masuk' ke jiwa. (dan aku tak faham mengapa ada wartawan menulis byline masing2 macam nak mengisi borang nak buat kad pengenalan. tak kreatif langsung! kau patut malu dengan shahbuddin othman ini).
selepas beberapa tahun cik shah dikhabarkan uzur. kadang2 lebih uzur, hingga kehadirannya di pejabat di perai kian jarang2. bagaimanapun dia ada sumbangan besar untuk harian metro. aku yakin ketika fesbuk belum muncul paparan berita dan gambar sekolah2, pelajar, guru dan orang kampung dalam akhbar kami membantu meningkatkan jualan harian metro. dan aku yakin dalam ramai2 pelajar/guru yang pernah ditemubual cik shah, mereka adalah antara pembeli dan pembaca setia harian metro sekarang.
tengah hari isteri aku menghantar mesej: "en shahrin osman meninggal...kak liza habaq"
innalillah... al-fatihah untuk shahrin osman. pada aku, dia seorang lejen.